بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
Persoalan berkaitan aurat dan hukum adik beradik ni pernah disuarakan oleh anak murid MF masa mengajar bab perkahwinan. Diorang ni memang banyak kes pasal tiri ni... Mak bapa bercerai dan kahwin lain. Memang perlu tahu hukum sebab ianya berkaitan aurat, mahram dan juga hubungan perkahwinan. Juga berkaitan dengan pembahagian harta. Tapi isunya, kita tengok berkaitan dengan hukum aurat dan perkahwinan.
Ada beberapa situasi berkaitan dengan adik beradik tiri ni.
- Ada yang adik beradik lain mak, lain bapa
- Ada yang adik beradik lain mak, satu bapa
- Ada yang adik beradik satu mak, lain bapa.
Jom lihat hukum berkaitan untuk lebih faham.
Situasi 1: Hukum Aurat dan Perkahwinan bagi adik beradik tiri lain mak, lain bapa.
Di antara adik beradik tiri tidak ada sebarang ikatan mahram. Mereka adalah ajnabi dan anjabiyah antara satu sama lain. Oleh itu, wajib menutup aurat sesama mereka (*termasuk memakai tudung), tidak harus mereka berduaan dan tidak harus bersalaman. Kerana tiada ikatan mahram, mereka berdua boleh berkahwin.
![]() |
Sumber: google images |
Ikatan mahram hanyalah antara bapa dan anak tirinya, dan antara ibu dan anak tirinya. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita dan ia mensetubuhi wanita itu, haram selepas itu dia mengahwini anak perempuan wanita itu (yakni anak tirinya). Larangan disebut Allah dalam surah an-Nisa’ (bermaksud); “Dan (turut diharamkan ke atas kamu mengahwini) anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu setubuhi, tetapi jika kamu belum setubuhinya, maka tidak berdosa kamu mengawini (anak perempuannya, iaitu setelah kamu ceraikan ibunya)” (Surah an-Nisa’, ayat 23).
Begitu juga, haram mengahwini ibu tiri. Di dalam al-Quran Allah melarang seorang lelaki mengahwini wanita yang pernah dikahwini bapanya. “Dan janganlah kamu kawini wanita yang pernah dikahwini oleh ayahmu” (Surah an-Nisa’, ayat 22). Wallahu a’lam. [Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL]
Situasi 2: Hukum aurat dan perkahwinan adik beradik tiri satu mak, lain bapa:
Jika seorang bapa yang punyai anak, berkahwin dengan seorang perempuan lain dan perempuan tadi lahirkan anak dari benih si bapa, maka anak itu dan anak si bapa tadi jadi mahram. Haram selama-lamanya berkahwin kerana dikira sebagai adik beradik.
Situasi 3: Hukum aurat dan perkahwinan adik beradik tiri satu mak, lain bapa:
Jika seorang ibu yang punyai anak berkahwin lain dengan seorang lelaki dan ibu itu lahirkan anak hasil dari benih lelaki tadi, maka anak yang lahir itu dengan anak ibu itu adalah mahram. Haram selama-lamanya berkahwin kerana dikira sebagai adik beradik.
Situasi 1 dan situasi 2 tidak dipanggil adik beradik tiri, tetapi adik-beradik kandung walaupun mak lain, bapa sama atau bapa lain, mak sama.
Maka kita sekarang sudah faham. Semua yang disebutkan tadi adalah mahram kita. Pendek kata kalau bersentuh tak haram. Berdua-duaan dibolehkan jika aman fitnah. Harus membuka aurat sesama mahram. Air wudhuk tak batal.
Kesimpulan:
Berdasarkan 3 situasi tu, Situasi 1 itu yang dikira sebagai adik beradik tiri sebab mempunyai hubungan tiri hanya kerana ibu bapa mereka berkahwin, sedangkan antara mereka tiada ikatan. Adik beradik ini yang perlu dijaga batas pergaulan kerana dikira bukan mahram dan boleh berkahwin. Walaupun mereka tinggal sebagai keluarga, aurat mereka tetap kena jaga dan muamalat pun kena jaga kerana mereka adalah adik beradik tiri dan bukan mahram.