5 Panduan Beli dan Guna Produk Kecantikan | Beberapa hari lepas, MF ke kedai serbaneka... macam kedai DIY, macam-macam ada... Masa nak bayar, tertarik tengok rak produk kosmetik... Pelbagai warna... menarik...
Terus MF tengok ... macam menarik.. tengok lipstik pelbagai warna.. tapi... eh... jenama ni... halal ke... selamat ke... tak jadilah nak beli...
Balik rumah, cari maklumat dulu dengan produk tu... Hmm... rupanya ada yang tiruan...
Nasib tak beli... harga memang murah dan sebijik macam ori.. jenama pun tak ubah... tapi ianya tiruan... sebab apa.. harganya murah... kalau original.. beratus harganya...
Kalau pakaian atau produk lain... boleh lagi... tapi kalau barang make up ni janganlah beli yang tiruan... kot kang, elok putih mulus cantik... terus berkarat... jenuh nak sental dik...
Di sini MF nak kongsikan panduan untuk beli dan guna produk kecantikan dan kosmetik...
5 Panduan Beli dan Guna Produk Kecantikan
Daripada segi keperluan regulatori, setiap produk kosmetik yang berada di pasaran perlu mempunyai notifikasi dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Produk kosmetik bernotifikasi adalah tertakluk kepada pematuhan berterusan terhadap keperluan undang-undang yang ditetapkan ke atas pihak syarikat yang bertanggungjawab khususnya dalam aspek kualiti, keselamatan serta kesahihan tuntutan yang dibuat pada label atau iklan produk kosmetik.
Semakan bagi status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh dilakukan pada bila-bila masa menerusi laman sesawang rasmi BPFK iaitu di
www.bpfk.gov.my.![]() |
sumber: google images |
Sebagai salah satu usaha untuk melahirkan pengguna bijak dan lebih berinformasi, berikut adalah panduan-panduan yang boleh diikuti sebelum membeli atau semasa menggunakan produk kosmetik:
1. Membaca maklumat pada label dan sisip bungkusan (jika ada) produk kosmetik
Setiap pengguna hendaklah membaca maklumat yang tertera pada label produk kosmetik termasuk pada sisip bungkusan, jika ada sebelum membeli atau menggunakan sesuatu produk kosmetik. Label yang lengkap perlu mempunyai maklumat seperti gambar rajah di bawah:
Lazimnya, kesemua maklumat tersebut dinyatakan pada label terdekat atau pada bekas produk. Namun, terdapat juga produk yang dikepilkan bersama sisip bungkusan yang mengandungi maklumat yang diperlukan untuk rujukan pengguna.
Pengguna hendaklah menggunakan produk mengikut saranan, syarat atau cara-cara penggunaan yang telah dikhususkan seperti yang tertera pada label/sisip bungkusan produk tersebut.
Antara contoh yang perlu diambil perhatian adalah ‘Sunburn Alert’ susulan daripada penggunaan produk yang mengandungi Alpha Hydroxy Acids (AHA) dalam kepekatan tertentu.
Glycolic acid dan lactic acid adalah merupakan jenis AHA yang paling kerap digunakan dalam sediaan kosmetik dan pengguna produk sedemikian perlu mematuhi arahan agar tidak mendedahkan diri kepada sinaran matahari secara langsung serta sentiasa memakai pakaian perlindungan seperti cermin mata hitam, topi serta memakai produk penabir suria (sunscreen) semasa dan seminggu selepas menggunakan produk tersebut.
2. Sentiasa menyimpan produk kosmetik di tempat yang sesuai
Penyimpanan produk kosmetik dengan cara dan di tempat yang sesuai boleh memelihara kualiti produk kosmetik. Sebagai contoh, suhu persekitaran yang sangat panas boleh menyebabkan tekstur dan aroma sesetengah produk kosmetik seperti gincu bibir, krim pelembap dan pewangi (perfume) berubah dan boleh menyebabkan produk tersebut tidak sesuai untuk digunakan lagi.
Selain itu, pengguna tidak digalakkan untuk memindahkan produk kosmetik daripada bekas yang asal kepada bekas yang lain kerana kestabilan produk kosmetik dikhuatiri akan terjejas sekiranya ia disimpan dalam bekas selain daripada yang telah dikhaskan untuk produk tersebut.
Sekiranya terdapat perubahan fizikal yang tidak diingini terhadap produk yang sedang digunakan walaupun telah disimpan dan digunakan mengikut arahan yang dinyatakan pada label, pengguna dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan produk tersebut dan melaporkan kepada BPFK agar siasatan lanjut dapat dibuat ke atas produk yang terlibat.
3. Membeli produk kosmetik daripada sumber yang boleh dipercayai
Kebanyakan produk kosmetik dapat diperoleh dan dibeli dengan mudah termasuklah dengan hanya membeli melalui kaedah pesanan atas talian. Produk kosmetik turut dijual di pasar malam dan kaki lima bangunan atau kedai yang mana sumber, kualiti serta tahap kestabilan produk tersebut diragui.
Oleh itu, pengguna perlulah lebih berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya membeli produk kosmetik daripada sumber yang meragukan walaupun produk-produk tersebut dijual dengan harga yang murah atau dijanjikan kesan yang kononnya sangat mujarab dalam tempoh yang singkat.
4. Merujuk kepada yang profesional kesihatan yang sesuai dan diiktiraf, jika perlu
Perbezaan antara individu menyebabkan keputusan yang berbeza terhadap produk kosmetik yang pelbagai di pasaran. Sekiranya menghadapi masalah kulit yang serius, pengguna sepatutnya merujuk kepada profesional kesihatan yang bertauliah atau pakar kulit.
Menurut Naib Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia, Dr. Mardziah Alias dalam artikel terbitan Utusan Malaysia pada 8 April 2008 berkata, pengetahuan yang kurang dan salah tanggapan bahawa masalah jerawat di muka boleh diatasi dengan hanya merujuk kepada pakar kecantikan telah menjerumuskan mereka kepada masalah kulit yang lebih serius.
Katanya lagi, jerawat merupakan sejenis penyakit kulit yang perlu dirawat oleh profesional kesihatan dan bukannya oleh pakar kecantikan yang tidak bertauliah menerusi penggunaan produk kosmetik yang mungkin ada kesan sampingan terhadap kulit manusia.
Justeru itu, orang ramai disarankan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai rawatan kulit dan produk-produk kecantikan menerusi pembacaan daripada sumber bacaan yang sahih atau pun merujuk terus kepada pakar kulit bagi mendapatkan nasihat serta kaedah penyelesaian yang lebih tepat dengan permasalahan yang dihadapi.
5. Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kosmetik yang tidak beretika
Dengan peningkatan teknologi maklumat yang pesat, orang ramai lebih mudah terdedah dengan pelbagai maklumat yang sering kali didapati sukar untuk memastikan tahap kesahihannya. Iklan-iklan produk kosmetik tidak terkecuali daripada menjadi bahan yang disampaikan secara berantai di laman sosial atau pun diiklankan dengan meluas melalui laman blog tertentu.
Selain itu, media bercetak seperti majalah dan akhbar juga didapati turut disisipkan dengan iklan produk kosmetik.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih realistik terhadap kesan yang diingini hasil daripada penggunaan produk kosmetik dan tidak mudah terpedaya dengan sesetengah iklan produk kosmetik yang mengelirukan dan tidak munasabah.
Perlu diingatkan bahawa produk kosmetik tidak boleh diiklankan dengan tuntutan perubatan seperti untuk masalah ekzema, psoriasis, luka, menguruskan badan, mengurangkan kesakitan, mencegah jangkitan dan sebagainya.
Di samping itu juga, pengguna dikehendaki untuk berwaspada terhadap iklan yang menjanjikan kesan yang drastik seperti contoh kulit menjadi putih gebu dalam tempoh yang singkat kerana dikhuatiri produk sedemikian dicemari dengan bahan terlarang yang berbahaya dan boleh menyebabkan kesan buruk kepada pengguna.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my
Jadi, belilah produk kosmetik dari sumber yang sahih... Watson dan guardian adalah gedung yang dipercayai tempat jual kosmetik yang bermutu dan berkualiti... Jangan beli kat pasar malam ok... pesan kat anak perempuan yang sedang meningkat remaja untuk kelihatan cantik tu ok...